Tuesday 15 September 2009

Proses kreativiti dalam pengkaryaan

Proses kreatif dalam pengkaryaan Seni Visual terbahagi kepada tiga bahagian iaitu kecerdasaan, perancangan dan produk atau karya. Setiap bahagian perlu melalui empat proses iaitu persediaan, pengeraman, pengilhaman dan penentuan. Proses persediaan dan pengeraman penting sebagai proses penyelesaian masalah manakala proses pengilhaman dan penentuan diperlukan untuk membuat keputusan. Penyelesaian masalah dan membuat keputusan akan membantu individu menyampaikan perkaitan diantara isi, bentuk dan subjek secara kreatif yang akan di persembahkan dalam bentuk karya.
Proses persediaan ialah aktiviti pengumpulan dan pengolahan pelbagai data. Maklumat diperolehi melalui pelbagai sumber seperti internet, buku-buku, pengalaman sedia ada, penerokaan dan lain-lain lagi. Proses ini penting kerana individu akan meneliti dan membuat kajian analisis gagasan idea atau konsep yang ada dengan tujuan menetapkan tujuan serta matlamat pengkaryaan.
Proses pengeraman pula prose dimana individu akan berimaginasi dan mengklasifikasikan sumber dan bahan yang ada. Individu juga akan membentuk konsep karya dan rancangan keperluan, bahan dan alat yang akan digunakan untuk hasilkan karya. Penerokaan juga membantu individu untuk meneroka idea dan konsep dengan lebih mendalam dan secara terperinci untuk hasilkan karya yang kreatif.
Proses pengilhaman merupakan aktiviti pencernaan idea yang akan mengembangkan konsep dan teori yang ada. Melalui proses ini kita akan dapat mengilhamkan bentuk dan menentukan pilihan yang mana pada akhirnya akan membantu kita membuat keputusan. Pada tahap ini juga kita memerlukan lakaran-lakaran idea yang akan dikembangkan oleh individu untuk mengolah idea yang sebenar dengan matlamat yang ditetapkan pada proses yang pertama dan kedua.
Proses terakhir ialah proses penentuan. Proses ini merupakan kesinambungan proses pengilhaman. Dalam proses pengilhaman, individu akan mengimaginasikan bentuk karya serta menentukan pilihan maka dalam proses penentuan bentuk tersebut diterjemahkan dalam bentuk visual berasaskan idea asal ataupun konsep yang ingin dipersembahkan dalam membentuk sebuah karya yang kreatif. Lakaran-lakaran idea yang telah dikembangkan dipilih dan diperkemaskan untuk dipersembahkan kepada suatu bentuk yang lebih teratur, kemas dan nyata.
Walaupun proses penentuan merupakan proses terakhir yang perlu kita lakukan sebelum memulakan penghasilan karya, individu perlu melihat kembali kepada proses yang pertama iaitu proses persediaan. Ini bukan sahaja dapat membantu kita agar tidak terkeluar daripada matlamat yang kita sasarkan tetapi juga membantu kita membuat persediaan terakhir dari segi bahan serta alatan yang akan kita gunakan semasa menghasilkan karya seperti warna, palet, berus, kertas, kanvas ataupun sebagainya yang difikirkan perlu ketika menghasilkan karya yang kretif dan dapat menyampaikan bentuk, isi dan subjek secara jelas, teratur, mudah difahami dan mampu menarik perhatian penonton.
Kesimpulannya disini, untuk menghasilkan sebuah karya yang kreatif kita haruslah melalui proses-proses persediaan, pengeraman, pengilhaman dan penentuan. Dengan itu karya yang kita hasilkan akan membawa makna kepada kita selain daripada kita menerapkan unsur-unsur dan prinsip-prinsip seni.